Segulung ijazah hadiah perkahwinan


Mahmud Sabrie Noh mencium isterinya, Nor Hafizah Jalilah pada majlis istiadat Konvokesyen Universiti Malaya 2009 sesi ke-4 dan ke-5 di Jalan Pantai, Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/ASWAD YAHYA


KUALA LUMPUR 12 Ogos - Segulung ijazah yang diterima pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaya (UM) hari ini merupakan 'hadiah' perkahwinan paling berharga kepada pasangan pengantin baru, Mahmud Sabrie Noh, 29, dan Nor Hafizah Jalilah Abdul Aziz, 24.

Ini kerana, majlis konvokesyen berkenaan berlangsung ketika pasangan itu masih dalam tempoh berbulan madu selepas seminggu mendirikan rumah tangga.

"Inilah hadiah perkahwinan paling bermakna dan lebih manis, kami disatukan dalam satu sesi konvokesyen yang sama," kata Mahmud.

Mahmud graduan Ukur Bahan dari Fakulti Alam Bina berkata, dia mengenali Hafizah semasa menetap di kolej kediaman yang sama dan bersyukur percintaan mereka selama dua tahun berakhir ke jinjang pelamin.

Tambahnya, walaupun baru menamatkan pengajian dan memulakan kerjaya di sebuah syarikat pembinaan, dia sebenarnya telah bersedia untuk membina keluarga.

Sementara itu, Hafizah yang mengambil bidang pendidikan pula menyifatkan dia memperoleh dua kejayaan serentak apabila dianugerahkan seorang suami dan memperoleh segulung ijazah.

"Syukur dengan semua kejayaan ini dan saya tidak lupa untuk berterima kasih kepada keluarga dan suami yang banyak membantu saya selama ini," jelasnya.

Dalam pada itu, mengulang kaji pelajaran setiap hari merupakan resipi kejayaan kepada graduan Ukur Bahan, Angela Chang Yian Yian, 23, apabila merangkul Hadiah Profesor Emeritus Ezrin Arbi.

Chang Yian yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.92 bagaimanapun berkata, dia tidak menyangka akan menerima hadiah tersebut kerana masih ramai lagi pelajar lain yang turut cemerlang.

"Saya memperoleh Anugerah Dekan bagi setiap semester selain aktif dalam bidang kokurikulum.

"Kejayaan ini menjadi motivasi kepada saya untuk menjadi lebih cemerlang dalam kerjaya yang diceburi nanti," ujarnya.


1 komen:

mantop mahmud.. mantop mantop.. caiyolah.. banggo ambo jadi hosemate demo.. hehe.. semoga bahagia hingga ke syurga!