'Mahasiswa tauge' mudah diperalat

PILIHAN raya pelajar di kampus Universiti Malaya (UM) sedang hangat dan rancak berjalan. Kehangatan dirasai pada hari penamaan calon di kalangan mahasiswa dan mahasiswi yang menggelarkan kesatuan mereka promahasiswa dan penggerak mahasiswa berarak menuju ke tempat penamaan calon. Calon yang bertanding berpakaian kemas bagaikan wakil rakyat. Teriakan mahasiswa memecah kesunyian yang menjadi tradisi utama di bangunan perpustakaan membawa mesej jelas iaitu pilihan raya kampus adalah agenda utama mereka.

Mereka akan melakukan apa saja untuk memastikan hasrat dan aspirasi perjuangan mencapai objektif . Pilihan raya kampus sudah dijadikan medan untuk memperkasakan diri atau menimba pengalaman dalam ilmu politik. Malangnya, ada segelintir mahasiswa yang terlalu taksub berpolitik secara songsang di universiti sehingga mereka tergelincir daripada landasan utama iaitu menimba ilmu dan melengkapkan serta memperkasakan diri dengan menambah modal insan apabila memperoleh pengalaman ketika berpolitik dalam kampus.


Sebagai contoh, mereka seharusnya miliki personaliti unggul dan menolak nilai negatif dan memperkasakan nilai positif. Mahasiswa tersasar landasan utama ini akan memasuki zon 'mahasiswa tauge.' 'Mahasiswa tauge' ini selalunya mahasiswa yang muflis kebijaksanaan intelektualnya, muflis kebijaksanaan bersosial, muflis kekuatan kerohanian, muflis idealisme perjuangan dan muflis kebijaksanaan mengawal emosi. Kelahiran 'mahasiswa tauge' sudah pasti akan menjadi beban kepada negara.

Istilah tauge diguna pakai kerana ia kerap kali menjadi pilihan terakhir untuk dijadikan sayur ini kerana ia muflis dari segi khasiatnya dan tidak boleh tahan lama dan akan cepat layu bila tidak direndam dalam air. Mahasiswa yang muflis kebijaksanaan inteleknya sentiasa tidak dapat berfikir secara rasional, kritis, kreatif dan tidak mampu menyumbang ilmu dipelajari untuk kesejahteraan manusia. Mereka kerap kali akan memainkan isu tidak berasas dan menaburkan fitnah, membawa dan menyebarkan khabar angin semata-mata untuk mendapatkan perhatian serta publisiti murah. Kemunculan 'mahasiswa tauge' yang membawa isu yang memfitnah timbalan Naib Canselor UM, merasuah mahasiswa dengan duit untuk menjadi calon adalah satu cubaan untuk memalukan pegawai tertinggi dan mahasiswa bertaraf universiti perdana. Tindakan mereka ini adalah 'mahasiswa tauge' yang muflis dari segi kebijaksanaan inteleknya. Mereka harus insaf dan kembali ke pangkal jalan.

Mereka perlu memohon maaf kepada semua warga UM. Tindakan mereka merosakkan nama baik UM. 'Mahasiswa tauge' yang muflis idealisme perjuangan tulen mahasiswa akan membenarkan pihak luar mempengaruhi minda dan melakukan aktiviti yang bercanggah dengan etika mahasiswa. Apabila diimbas kembali ketika perarakan pada hari penamaan calon, gelagat mereka memakai baju oren, jaket hitam bermutu tinggi dan sepanduk berkualiti tinggi, dan golongan mahasiswa yang menyebarkan ribuan cetakan buku risalah berkualiti menimbulkan 1,000 satu persoalan. Antaranya ialah dari mana sumber kewangan mereka peroleh? Adakah sumber kewangan biasiswa atau pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilaburkan untuk berkempen? Adakah mereka ditaja pihak tertentu yang mempunyai agenda tersirat? Nasihat saya kepada seluruh mahasiswa UM agar tidak memilih mahasiswa yang dilatih secara terancang dan mindanya ditawan pihak tertentu.

Ayuh warga UM, bersatulah tenaga dan minda untuk kita bersama-sama memastikan kesucian dan maruah terus terpelihara. Kita wajib memastikan pemimpin dari UM adalah pemimpin kelas pertama, bukan 'pemimpin tauge' atau 'pemimpin kangkung.' Telitilah secara kritis kepada semua fitnah melampau yang dilontarkan oleh 'mahasiswa tauge' dan mahasiswa UM tulen harus memulakan satu gerakan berfikir secara bersepadu bermula hari ini. Imbas kembali semua fitnah itu dan seterusnya mengundi secara bijak kerana ia akan mencetuskan satu gerakan revolusi pemikiran mahasiswa baru terhadap isu budaya fitnah melampau yang sedang menguasai minda mahasiswa. Mahasiswa hebat adalah mereka yang menerokai ilmu melalui lipatan sejarah kerana kekuatan berfikir bermula di situ. Mahasiswa agung akan berfikir sepantas cahaya kerana mereka tidak mahu ketinggalan pada hari esok.

Selamat mengundi .

WIRAKARNAIN SANI, Pensyarah Universiti Malaya.