MAHASISWA perlu melengkapi diri dengan pelbagai maklumat agar boleh menggalakkan lebih banyak wacana intelek di universiti. – Gambar hiasan


PERUBAHAN landskap politik negara selepas Pilihan raya Umum ke 12 (PRU 12) lalu merupakan satu sejarah yang baru dilakar. Negara yang baru sahaja menyambut 50 tahun kemerdekaan dikejutkan pula dengan perubahan yang mendadak ketika melangkah kaki ke separuh abad kedua. Banyak rumusan dan analisis melalui artikel, seminar dan komentar dilakukan bagi memahami perubahan yang berlaku.

Perbincangan di kedai kopi dan restoran eksklusif juga tidak ketinggalan. Sudah tentu masing-masing mempunyai persepsi dan sudut pandang yang berbeza. Perbincangan popular akan terus memainkan peranannya.

Dalam memahami perubahan yang berlaku ini, ia tidak boleh berlaku dalam tempoh sehari dua. Proses memahami perubahan ini hakikatnya masih terus berjalan walaupun PRU 12 telah lama berlalu dan mungkin akan berlanjutan untuk sekian lama yang belum dipastikan garis penghujungnya.

Memahami perubahan tidak akan berjaya dengan baik sekiranya tidak ada kesediaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.

Secara umumnya sudah ada kecenderungan kecil semua orang, termasuk parti dan rakyat untuk memahami dan pada masa yang sama menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.

Ini terbukti apabila ada menteri kabinet yang sudah mempunyai blog, penubuhan suruhanjaya Badan Pencegah Rasuah, memberi ex-gratia kepada mantan hakim-hakim yang dipecat dan sebagainya. Pada hemat saya, asas kepada memahami perubahan yang berlaku ialah perlunya merujuk kepada ilmu sebagai terasnya.

Ini boleh dijelmakan melalui wacana ilmiah yang harus diteruskan dan diangkat martabatnya supaya kita dapat memahami dengan baik perubahan yang berlaku. Perubahan drastik yang berlaku dalam konteks politik negara menuntut kita bergerak pantas dan cepat belajar supaya dapat menyesuaikan diri dengan baik.

Proses wacana ilmu ini menuntut sikap pemimpin terutamanya supaya berlapang dada, berjiwa besar dan paling penting berisi di kepala untuk berbahas. Makanya semua wakil rakyat yang bakal ‘bertempur’ di gelanggang Parlimen nanti harus membuat persediaan rapi untuk membahaskan isu-isu dasar yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Gambaran suram separa ‘bodoh’ perbincangan dan membosankan gelagat ahli parlimen sesi lepas bakal tidak akan berulang sesi akan datang. Dengan kehadiran wakil pembangkang yang semakin ramai menuntut soalan yang bertubi-tubi dan kritikal bakal dibincangkan. Ahli Parlimen (MP)pemerintah tidak ada alasan untuk ponteng ke Parlimen.

Dalam sudut lain, wacana awam melibatkan masyarakat atau rakyat secara umum juga harus diperhebatkan. Mereka memerlukan pencerdasan akal akan isu dan situasi politik yang berlaku. Wacana ilmiah ini harus merentas parti politik dan kepentingan kaum yang sempit.

Sudah tiba masanya MP pemerintah dan pembangkang, ataupun melibatkan kepelbagaian parti berbilang kepentingan untuk duduk semeja dalam iklim yang lebih ilmiah untuk membahaskan isu-isu perubahan semasa.

Dalam menilai isu perubahan yang berlaku, ada banyak isu mendesak yang harus dibincang secara hikmah dan serius. Komitmen dan semangat berjiwa besar pemimpin parti mesti dijelmakan dalam menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku ini.

Sebagai contoh ialah agenda Melayu Islam di negara ini. Barangkali bercakap agenda Melayu Islam hari ini semacam taboo kerana akan dituduh rasisme ataupun out-dated pemikirannya. Soal bahasa Melayu, kemiskinan Melayu, masalah moral dan sebagainya yang sudah immune’ dianggap janggal apabila disebut.

Hari ini wacana yang ingin diketengahkan ialah agenda universal yang merentas kaum dan agama di negara ini, seperti keadilan semua kaum, agenda membasmi kemiskinan merentas kaum, hak bersama dalam negara dan sebagainya.

Jika trend ini berterusan, dikhuatiri akan terus membudaya dan akhirnya terpinggir soal agenda Melayu Islam. Bagi sesetengah orang, mungkin isu Melayu Islam sudah selesai, makanya agenda Melayu Islam tidak dimanifestokan dalam PRU 12 lalu sebagai contoh. Akhirnya juga, bercakap agenda Melayu Islam dituduh rasisme, sama seperti kita mengkritik orang Yahudi yang akan dituduh sebagai Anti-Semitik.

Sebab itulah wacana ini harus diangkat martabatnya dalam konteks perubahan politik negara ini. Asas kepada perbincangan ialah bahawa orang Melayu adalah rakyat majoriti negara ini. Sudah semestinya agenda Melayu Islam menjadi teras kepada perkembangan politik negara ini. Pada masa yang sama, kepentingan kaum minoriti tidak dipinggirkan malah diangkat martabat bersama.

Contoh terbaik ialah ketika Baginda SAW dan pengalaman sebilangan besar pemerintah Muslim yang adil yang mempamerkan sikap adil dan tegas ketika memerintah. Agenda Islam sebagai teras pemerintahan langsung tidak menzalimi kepentingan dan hak kaum minoriti seperti kaum Yahudi yang tinggal bersama.

Ketakutan sesetengah pihak bukan Islam terutamanya bahawa jika Melayu Islam diangkat martabatnya adalah satu ketakutan yang tidak berasas. Ketakutan mereka kerana memungkinkan kezaliman akan berlaku masa datang. Hakikatnya pengalaman silam mengajar bahawa jika ada pemimpin adil yang bertegas dalam agenda bangsa dan Islam, makanya tidak akan ada kezaliman dan penindasan yang berlaku.

Dalam sudut yang berbeza, jika ada terlalu taksub dengan bangsa juga mendatangkan kerugian. Sikap melampau terhadap Melayu dengan pandangan bahawa Melayu adalah segalanya-galanya sehingga menindas kaum lain juga bukan syarie sebenarnya.

Kerana itulah, perubahan yang berlaku hari ini perlu diisi dengan wacana ilmiah di semua peringkat, dari Parlimen sehingga seminar awam. Pemimpin dan rakyat harus menggerakkan wacana ilmiah bagi memahami dengan mendasar perubahan yang berlaku.

Iklim yang lebih intelektual dan ilmiah menjadi keutamaan kita. Pemimpin semua peringkat dalam parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), keluarga dan masyarakat menjadi penggerak utama mendahului wacana ilmiah ini.

Pada peringkat universiti merupakan peringkat genting untuk ada wacana yang lebih ilmiah dan terbuka. Warga universiti seperti pensyarah dan mahasiswa harus diberi galakkan supaya membahaskan isu semasa dalam iklim yang ilmiah, tanpa ada sekatan. Sebelum ini, wacana intelektual dan terbuka seakan ‘malap’ di semua universiti tempatan.

Mereka lebih disibukkan dengan program anak angkat, kebudayaan dan sukan. Akhirnya mahasiswa menjadi graduan ‘pesta-pesti’, bukan graduan intelektual.

Oleh itu, barangkali wacana intelektual melibatkan tokoh politik berbilang parti, sama ada pemerintah atau pembangkang diberi ruang dalam universiti untuk berdebat atau berwacana dalam isu negara yang berlaku. Akhirnya tujuan berwacana adalah supaya kita mengetahui kebenaran dan belajar sikap menghormati pandangan orang lain.

Silang sengketa perbalahan ideologi politik harus ditinggalkan. Sasarannya ialah supaya proses mencerdaskan warga universiti menjadi keutamaan.