Dari Utusan Malaysia

04/11/2008 3:24pm

PUTRAJAYA 4 Nov. — Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kekosongan 26,000 jawatan perguruan akan tetap diisi pada tahun depan walaupun dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu sekarang.

Katanya, beliau juga akan memastikan 14 buah sekolah yang sedang dalam pembinaan akan beroperasi sepenuhnya menjelang tahun depan.

“Apa jua usaha dan program untuk mempertingkatkan pendidikan kepada anak bangsa pasti terus dipertahankan dalam apa jua keadaan kerana pendidikan amat penting,” katanya kepada pemberita pada Hari Kualiti Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Pada majlis itu Hishammuddin menyampaikan Anugerah Kualiti Menteri Pelajaran kepada Sekolah Menengah Teknik Taiping di Perak, berupa sijil, trofi dan peruntukan kewangan RM50,000.

Anugerah Kualiti Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran pula dimenangi Kumpulan Meningkat Mutu Kerja Jabatan Pelajaran Kelantan yang membawa pulang sijil, trofi dan peruntukan kewangan RM35,000.

Sepuluh buah sekolah rendah bandar diumumkan pemenang bagi kategori Anugerah Sekolah Cemerlang antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Convent, Ipoh Perak, SK Agama Miri dan Sarawak, SK (P) Sultan Ibrahim, Johor Baharu manakala kategori sekolah rendah luar bandar pula dimenangi 12 buah sekolah antaranya SK Methodist Parit Buntar, Perak, SK Sri Skudai, Johor dan SK Abang Aing, Sri Aman, Sarawak. - Bernama