Ustazah dicekup berkhalwat


CHERAS: Mengaibkan apabila seorang ustazah yang bakal dilantik sebagai pengetua sekolah, dicekup sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana berkhalwat di sebuah kondominium mewah, Sabtu lalu.

Ustazah terbabit yang dipercayai berusia lingkungan 40-an, ditahan bersama pasangannya yang juga warga pendidik, hasil maklumat orang ramai.

Difahamkan sebelum diserbu, pasangan terbabit dikatakan berkurung dalam unit kediaman di Kondo Vista, Bandar Sri Permaisuri, Bandar Tun Razak, pada jam 3 pagi, sekali gus menimbulkan syak.

Malah mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk mengesahkan hubungan suami isteri atau pasangan mahram ketika diminta berbuat demikian oleh pegawai penguat kuasa yang melakukan serbuan.



Lebih mengejutkan, lelaki terbabit yang berusia lingkungan 50-an, seorang ketua jabatan di sebuah institusi latihan terkenal.

Ustazah terbabit dikatakan bertugas di sebuah sekolah di Semenyih dan baru selesai mengikuti kursus sebelum memulakan tugas baru sebagai pengetua sekolah.

Sumber yang enggan dikenali turut mendakwa, pasangan terbabit dikatakan kerap dilihat bersama dan beberapa kali hampir dicekup pihak berkuasa, tetapi nasib sering menyebelahi mereka menyebabkan sentiasa terlepas daripada ditangkap basah.

Sementara itu, jurucakap Jawi ketika dihubungi semalam, mengesahkan penahanan pasangan terbabit tetapi enggan mengulas lanjut dengan alasan siasatan sedang dijalankan.

“Pasangan yang ditahan adalah warga pendidik, namun butiran peribadi serta sekolah tempat mereka mengajar terpaksa dirahsiakan,” katanya.


Jadikan berita di atas sebagai pedoman dan tauladan untuk kita semua sebagai bakal pendidik... jangan cemarkan nama baik pendidik dengan perbuatan yang tidak sepatutnya